Thursday, September 29, 2011

28 sept 2000


Assalamualaikum


28 September 2000 akan sentiasa dalam ingatan umat Islam dan rakyat Palestin. Pada tarikh tersebutlah tercetusnya kebangkitan intifadah al-Aqsa yang menyemarakkan intifadah pertama yang tercetus pada tahun 1987.

Intifadah al-Aqsa adalah jawapan kepada keangkuhan Zionis Israel yang tidak mempunyai rasa hormat ke atas rakyat Palestin dan hak-hak mereka. Arial Sharon, yang ketika itu Perdana Menteri Israel telah berlaku biadap dengan memasuki perkarangan masjid al-Aqsa bersama 2000 pasukan tentera yang lengkap bersenjata. Tanpa menghiraukan persoalan sensitiviti umat Islam dan rakyat Palestin, Ariel Sharon dengan angkuhnya menceroboh masuk ke kawasan al-haram as-syarif walaupun dibantah hebat oleh rakyat Palestin yang berada di sekitar masjid al-Aqsa. Kemarahan rakyat Palestin semakin membara kerana 10 hari sebelumnya mereka baru sahaja memperingati peristiwa hitam Shabra dan Shatilla yang menyaksikan lebih 3000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam pada 16 - 18 September 1982 dan orang yang melakukan jenayah keji ini tak lain dan tak bukan ialah Arial Sharon keparat itu (hari ini dia masih terlantar dan membusuk sejak 2006 - sehingga kini nyawanya belum ditarek oleh Allah SWT)


Tujuan Sharon dan kuncu-kuncunya adalah jelas, di sebalik apa yang dikatakan ‘ziarah’ ke ‘tempat suci’ zionis yang mereka rujuk sebagai ‘Temple Mount’, sebenarnya terpampang satu ‘perutusan’ yang jelas iaitu Baitul Maqdis termasuk kawasan masjid al-Aqsa adalah berada di bawah kedaulatan Israel. Israel telah menduduki baitul maqdis timur pada tahun 1967 dan mengistiharkannya sebagai ibu negara Israel pada tahun 1980. Tindakan Sharon adalah satu penegasan bahawa Baitul Maqdis adalah milik mutlak zionis dan mereka akan merobohkan masjid al-Aqsa apabila tiba saatnya untuk diganti dengan ‘Haikal Sulaiman’ – synagogue tempat ibadat orang yahudi.


Tindak balas umat Islam dan rakyat Palestin adalah segera. Mereka tidak teragak-agak lagi menyerbu rombongan Sharon meskipun dia dikelilingi oleh pengawal yang lengkap bersenjata. Tembakan di lepaskan dan pertembungan yang berlangsung sehingga hari Jumaat dan berterusan pada bulan Oktober di antara rakyat Palestin dengan tentera rejim Zionis mengorbankan kira-kira 4000 penduduk Palestin termasuk 10,000 yang lain tercedera sebahagian besar remaja dan kanak-kanak. Bahkan dunia menyaksikan bagaimana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun Muhammad ad-Durra ditembak pada jarak dekat di Gaza oleh tentera Israel pada hari Sabtu 30 September. Tindakan kebinatangan ini dirakamkan oleh seorang jurugambar Peranchis dan dipaparkan ke seluruh dunia. Reaksi Presiden Amerika George W Bush hanyalah mengatakan ‘I am shocked’ (saya terkejut…) dan tentera yang dirakam secara jelas membunuh Muhammad Ad-Durra dan mencederakan bapanya hanya dikenakan tindakan disiplin.


Peristiwa hitam ini seharusnya menjadi panduan kepada umat Islam di dalam menyatakan sikap dan sokongan ke atas usaha Mahmud Abbas, Presiden pihak berkuasa Palestin (yang telah tamat tempoh hampir 2 tahun tetapi masih kekal sebagai Presiden PA) untuk mengemis pengiktirafan PBB ke atas negara Palestin. Mahmud Abbas menuntut sesuatu yang tidak memberi sebarang makna kepada perjuangan rakyat Palestin. Jika beliau benar-benar memperjuangkan hak rakyat Palestin dan umat Islam maka sewajarnya beliau menuntut supaya PBB melaksanakan tiga perkara yang tidak bolih dirundingkan sama sekali. Pertama, hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka yang dirampas oleh Israel. Kedua, Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin. Ketiga, negara Palestin dalam lingkungan sempadan 1967 dengan pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah yang diduduki di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur. Kesemua tuntutan ini sebenarnya telahpun diterima dan diluluskan oleh PBB dalam bentuk resolusi yang jelas. Hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka samada di negara Palestin yang dirampas pada tahun 1948 atau pada tahun 1967 dijamin oleh resolusi 194 (III) pada tahun 1949. Resolusi ini sudah wujud dan masih berkuatkuasa sejak 62 tahun yang lalu. PBB juga sudah memutuskan tindakan Israel menyatukan Baitul Maqdis Barat dan Timur dan mengistiharkan baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidah sah melalui Resolusi 237. Resolusi 405 yang diterima pada tahun 1988 mengesahkan bahawa Baitul Maqdis adalah ibu negara Palestin. Di samping itu pendudukan Israel ke atas seluruh Tebing Barat juga telah diputuskan oleh PBB sebagai pendudukan haram dan Israel wajib kembali ke sempadan 1967 berdasarkan Resolusi 242.


Jadi apa sebenarnya yang dituntut oleh Mahmud Abbas dan pihak berkuasa Palestin? Menuntut sesuatu yang telah diiktiraf secara sah melalui Resolusi PBB. Hakikatnya PBB adalah satu badan yang tunduk kepada kehendak Israel dan pelindungnya Amerika Syarikat. Kesemua resolusi-resolusi yang berpihak kepada Palestin sejak tahun 1949 tidak mungkin dilaksanakan oleh PBB. PBB hanyalah satu badan yang dicipta untuk menunjukkan kononnya wujud ruang bagi negara-negara di dunia memutuskan sesuatu perkara secara konsensus atau mencari kesepakatan. Hakikatnya Amerika Syarikat hanya menggunakan PBB untuk mengabsahkan apa sahaja tindakannya. PBB hanyalah ‘rubber stamp’ bagi Amerika Syarikat yang bertindak atas kepentingan Israel.


Kesudahan dari sandiwara yang mencuri perhatian masyarakat antarabangsa sejak sebulan yang lalu akan berakhir dengan jalan cerita yang sudah diputuskan. Israel tidak perlu berbuat apa-apa. Seperti yang dipamerkan oleh Sharon dan pihak Zionis dalam peristiwa intifadah al-Aqsa, mereka tidak akan berganjak dari pegangan mereka iaitu Baitul Maqdis dan masjid al-Aqsa adalah milik mereka, mereka tidak akan berundur dari Tebing Barat yang mereka rujuk sebagai Judea dan Samaria. Bagi zionis tidak ada Israel tanpa Judea dan Samaria dan tidak mungkin ada Israel tanpa Jerusalem (Baitul maqdis). Mereka hanya menunggu cadangan Mahmud Abbas di bawa ke Majlis Keselamatan dan Amerika tanpa syak dan ragu lagi akan menggunakan kuasa vetonya.


Apa kesimpulannya? Tindakan yang dijangka ini kononnya akan memburukkan lagi imej Amerika di mata dunia? Amerika kononnya akan hilang wibawa di kalangan negara-negara Arab? Apakah kita menjangkakan Amerika akan bertindak secara berbeza setelah 64 tahun Amerika tidak pernah berganjak dengan prinsip keramatnya sebagaimana yang diucapkan oleh Presiden Barrack Obama ketika dikunjungi oelh Benyamin Netanyahu awal tahun 2011 iaitu ‘We will give iron clad protection to Israel’ (Kami akan memberikan perlindungan yang kebal sifatnya kepada Israel).


Mahmud Abbas menerima ‘standing ovation’ (tepukan gemuruh di majlis persidangan agung PBB di New York). Apakah ini akan menjadikan dia seorang tokoh yang akan di kenang sebagai wira negara Palestin? Yang jelas Mahmud Abbas hanyalah watak ‘harimau kertas’ yang ngaumannya tidak akan dipedulikan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Bahkan ngaumannya di kalangan rakyat Palestin di Gaza, di tebing barat dan di baitul Maqdis kedengaran hanya seperti seekor kucing Parsi yang kekenyangan dijamu oleh rakan-rakan zionisnya di Tel Aviv dan Washington DC.


Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif


taken from @ http://lambaian-islah.blogspot.com/2011/09/memperingati-intifadah-al-aqsa-28-sept.html

No comments:

ALLAH know!

"dan Dialah y menidurkan kamu pada mlm hari dan Dia mengetahui apa y kamu kerjakan pada siang hari. kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari utk disempurnakan umurmu y telah ditetapkan. kemudian kepadaNya tempat kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa y tlh kamu kerjakan." Al-An'am 6: 60

motivating one-self!~

"la yukallifullahu nafsan illa wus'aha"
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" al-Baqarah 2: 286

~~kadang kala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat.. kita tertanya-tanya, kemana hilangnya mentari?? rupa-rupanya Allah gantikannya dengan sang pelangi yang indah... ^_^